Perkongsian Satu Kehilangan Duka Tanpa Tanda

Ketika membaca intensi doa Sri Paus bulan November ini, hati saya agak berat dan terluka. Namun Tuhan membuka mata saya melihat dengan doa sejagat Gereja betapa Dia sangat mengasihi umat-Nya dan tidak membiarkan kita melalui kesedihan itu sendiri. Intensi doa ini memberi saya kesempatan untuk berkongsi duka dan moga sokongan doa kita bagi mereka yang kehilangan anak membawa keteguhan.

Tarikh 10 Julai 2022 menjadi titik hitam bagi seluruh keluarga saya selepas kami kehilangan puteri tercinta yang pergi tanpa jejak. Umurnya baru sahaja mencapai setahun enam bulan. Tiada siapa yang pernah menyangka bahawa hal itu akan terjadi. Sehingga kini, peristiwa itu menjadi duka terdalam bagi kami sekeluarga, terutama sekali kepada ibu dan bapa yang kehilangan puteri. Tiada tanda, tiada tempat yang boleh dikunjungi, tiada kuburan untuk dilawati setiap kali tiba tarikh kehilangan dia. Hanya kepada Tuhan sahaja kami berharap dan percaya bahawa puteri kami dalam lindungan-Nya.

Saya mengambil langkah berani dan kuat untuk bertanya kepada si ibu, juga kakak saya beberapa hari yang lalu tentang perasaannya. Tidak mudah, tetapi saya percaya bahawa saat dia mengongsikan perasaannya, dia juga sedang melepaskan bebannya dan melihat bagaimana Tuhan bekerja dalam hidupnya sehingga hari ini. Ini kata-katanya:

“Seluruh tubuh saya hancur dan sangat lemah dengan ujian ini. Saya sangat merinduinya dan sentiasa berharap akan kepulangannya kembali ke pangkuan saya. Saya dan suami memilih untuk mendekatkan diri dengan Tuhan dan meneruskan pelayanan saya di dalam gereja dan komuniti saya. Apa yang menguatkan saya sehingga ke hari ini? Semasa hari kejadian di mana kami kehilangan puteri ini, ramai yang meminta saya berdoa dan berpuasa, dan saya lakukan itu. Ketika saya sedang berdoa, saya melihat dengan jelas wajah Bonda Maria ketika memeluk anaknya Yesus yang mahu disalibkan. Saya juga dapat melihat diri saya yang sedang memeluk anak saya, Jude Angel. Dari sinilah saya dapat menerima perlahan-lahan dengan kekuatan hati untuk menerima kehilangan ini. Dan dari sanalah juga air mata saya susah untuk jatuh, sehingga ada yang mengatakan saya sungguh kuat. Saya mengakui di hadapan Tuhan bahawa saya sangat lemah dan tidak berdaya, dan Dia mengambil semua sakit itu agar saya masih boleh terus berjalan menghadapi ujian ini. Saya serahkan kepada Tuhan semuanya, dan hanya satu yang saya minta kepada-Nya, agar saya dan keluarga terus dapat melayani dan diberi kekuatan untuk menjadi alat yang Tuhan pakai untuk kemuliaan-Nya.” - Agatha Simon, Ibu kepada Puteri Jude Angel Jeremy.

Kehilangan seorang anak tanpa jawapan dan tanda adalah satu kehilangan yang sungguh menyakitkan. Persoalan sedih akan timbul, bila penantian ini akan berakhir? Pada mereka yang beriman, yang pasti, Tuhan tidak meninggalkan kita. Pekerjaan baik terus kita lakukan untuk Tuhan dan sesama tanpa mengeluh, kita tidak harus menjauhkan diri dari Tuhan. Semoga semua ibu bapa dan keluarga yang mengalami kehilangan akan terus menjadi saksi dan menyebarkan cinta serta keberadaan Tuhan kepada semua orang.

Tuhan memberkati.

Leah Simon
YD SFX PJ

0